05 January 2008

teks ucapan TPM

Saudara Pengerusi MajlisYang Berhormat Dato’ Dr. Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Malaysia Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Malaysia Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekelian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Terlebih dahulu, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi ini untuk pelancaran Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan 1425H dan Perasmian Klinik Berhenti Merokok di Bangunan parlimen ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi lain iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam (IKIM), Pusat Racun Negara, USM dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia yang mengambil inisiatif mengadakan kempen ini bagi meningkatkan kesedaran umum tentang tabiat merokok dan menyediakan khidmat bagi membantu masyarakat amnya dan Yang Berhormat-Yang Berhormat khasnya untuk meninggalkan tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan.

2. Insya’Allah dalam tempoh 2 minggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan, bulan yang mulia dan istimewa. Ia merupakan bulan pelbagai kelebihan yang perlu dimanafaatkan oleh setiap umat Islam. Pada bulan yang baik ini, umat Islam digalakkan untuk bermusahabah, mengamal amalan baik, membuat perkara-perkara positif sepertimana yang dituntut oleh agama Islam. Bulan Ramadhan memberi peluang kita melatih diri, mengawal dari hawa nafsu, agar tidak melakukan perbuatan yang sia-sia, seperti tabiat merokok.

3. Seperti yang kita sedia maklum, tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara keagamaan. Pada zaman itu umat Islam tidak pandai merokok melainkan dipengaruhi oleh sikap dan budaya Barat yang menjajahi mereka.

4. Tabiat merokok yang menular kini diterima sebagai suatu perkara kebiasaan dan simbol status dalam masyarakat kita. Dari kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1996, kadar keseluruhan merokok di negara ini ialah 24.8% manakala prevalen bagi lelaki ialah 49.2% dan untuk wanita 3.5%. Kadar merokok yang melibatkan separuh (50%) dari semua lelaki dewasa di Malaysia adalah melebihi kadar yang sama di negara-negara maju, seperti United Kingdom (38%), Amerika Syarikat (35%) dan Sweden (30%), di mana kesedaran di negara-negara ini telah mempengaruhi penurunan kadar merokok sejak beberapa tahun lalu.

5. Merokok malangnya telah dianggap sebagai satu perbuatan bergaya dan menjadi norma kehidupan sebahagian rakyat Malaysia. Nyata sekali anggota masyarakat mesti diberi maklumat yang jelas dan jitu tentang rokok supaya mereka boleh membuat pilihan yang bijak dan tepat apabila berhadapan dengan tekanan-tekanan untuk merokok.

6. Kajian yang sama turut menunjukkan perangkaan bahawa kaum Melayu meliputi 35% dari keseluruhan perokok, dengan jumlah seramai lebih 1 juta orang, berbanding dengan kaum Cina 23% dan kaum India 20%. Kebanyakan dari perokok adalah terdiri dari mereka yang bermastautin di kawasan luar bandar dan terdiri dari golongan yang berpendapatan rendah. Sebilangan besar perokok mula berjinak dengan tabiat ini dari peringkat remaja dan purata umur mula merokok ialah di sekitar 19 tahun.

7. Pelbagai pendekatan, khususnya kaedah perundangan dan pendidikan kesihatan yang menyasarkan para perokok, telah dijalankan sejak dua dekad yang lalu dengan harapan agar golongan ini meninggalkan tabiat mereka. Namun, kadar merokok semakin meningkat dengan penglibatan wanita dan remaja pula. Ini adalah hasil dari kejayaan taktik promosi oleh syarikat-syarikat tembakau yang memperluaskan jaringan pasaran masing-masing demi keuntungan yang lumayan. Sebagail wakil rakyat, Yang Berhormat-Yang Berhormat boleh membantu dengan memberi maklumat-maklumat hasil kajian saintifik mengenai bahaya rokok dan kebaikan tidak merokok melalui saluran-saluran dan kaedah komunikasi yang berkesan. Kita mesti mewujudkan satu gelombang sokongan padu di kalangan masyarakat Malaysia untuk menentang tabiat merokok.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Menghisap rokok memudaratkan kesihatan manusia, persekitaran dan merbahaya kepada perokok aktif itu sendiri serta perokok pasif. Kemajuan dalam penyelidikan sains perubatan telah jelas membuktikan hubungan rapat di antara penggunaan tembakau (merokok) dengan penyakit jantung yang merupakan pembunuh utama (number one killer) diikuti penyakit kanser, iaitu mengikut statistik, pada setiap 4 orang, 1 orang akan dihidapi dengan penyakit kanser, penyakit paru-paru dan berbagai-bagai jenis penyakit lain. Rokok merupakan penyebab utama kematian yang sama sekali boleh dielakkan di zaman moden ini. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia telah bertambah dari 1 juta dalam pertengahan tahun 1960an kepada lebih 4 juta masa kini. Ini dianggarkan meningkat lagi kepada 10 juta setahun menjelang tahun 2020. Bahayanya tidak hanya membabitkan negara-negara Barat sahaja, malah kian mengancam dan menjadi masaalah kesihatan yang paling utama di negara-negara membangun, termasuk di Malaysia.

9. Statistik telah menunjuk dan membuktikan bahawa tabiat merokok mengakibatkan 90% dari kesemua kes kanser paru-paru, 75% kes kerosakkan paru-paru (chronic bronchitis & emphysema) serta 25% kes sakit jantung di kalangan lelaki berumur di bawah 65 tahun. Beberapa lagi jenis kanser selain kanser paru-paru dan juga komplikasi dalam sistem pernafasan kanak-kanak, turut dikaitkan dengan merokok di kalangan ahli keluarga.

10. Ibu bapa yang merokok bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka pada tahap bahaya, tetapi juga berkemungkinan memperolehi kecacatan anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda ahli keluarga mereka sendiri. Didapati kanak-kanak dari ibu bapa yang merokok lebih cenderung mencontohi tabiat buruk ini apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Saudara saudari sekalian,

11. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan yang membawa padah. Berdasarkan fakta-fakta yang telah terkumpul sekian lama melalui beribu-ribu kajian saintifik di seluruh dunia, apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ di sepanjang laluan pernafasannya.

12. Dari maklumat tentang kemudaratan asap rokok terhadap kesihatan, maka isu berhubung menghidu asap rokok secara terpaksa atau secara pasif semakin ketara dan menjadi persoalan hak asasi manusia yang semakin hebat diperkatakan di seluruh dunia.

13. Kajian-kajian saintifik yang dijalankan oleh berbagai badan penyelidikan terkemuka antarabangsa telah membuktikan bahawa merokok secara pasif (passive smoking) merupakan penyebab utama kejadian kanser paru-paru di kalangan orang yang tidak merokok. Bagi wanita bukan perokok, mereka mempunyai pertambahan risiko sebanyak 30% untuk mengidap kanser paru-paru dan kelebihan 50% pula untuk diserang sakit jantung, jika suaminya merokok.

14. Dari sudut ekonomi pula, merokok adalah suatu amalan pembaziran. Setiap individu yang menghisap rokok melampaui 20 batang sehari selama lebih 25 tahun telah membelanjakan wang tidak kurang dari RM 20 000 bagi menampung keperluan penagihan masing-masing. Menurut kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1986, para perokok di Semenanjung Malaysia membakar sekurang-kurangnya RM 3 juta sehari untuk membeli rokok. Wang sebanyak ini tentu sekali boleh dimanafaatkan ke arah yang lebih menguntungkan. Kebanyakan perokok di Malaysia adalah terdiri dari mereka yang berpendapatan purata RM 300 sebulan, di mana sebanyak RM 33 sebulan (11%), dikhususkan untuk rokok. Sudah tentu sekali boleh diandaikan dengan tepat bahawa peruntukkan menyara keperluan keluarga akan turut terjejas.

15. Belanja membersih dan melupuskan kekotoran sampah, sisa habuk dan putung rokok yang dibuang di merata tempat oleh para perokok yang tidak mempunyai kesedaran sivik, serta kerugian harta benda dan jiwa akibat kebakaran yang berpunca dari kelalaian mereka, seterusnya akan melanjutkan lagi senarai kesan negatif yang dikaitkan dengan rokok.

Saudara-saudara sekalian,

16. Sebagai wakil-wakil rakyat yang penuh dedikasi dan bertanggungjawab, saya menyeru agar tuan-tuan menjadi contoh dan memberi teladan yang baik, serta dapat menyebarkan kepada rakyat akan kesan dan akibat buruk yang terbit dari tabiat merokok.

17. Merokok juga merupakan aktiviti penggalak bagi budaya lepak yang sedang melanda golongan muda dewasa ini. Penggunaan tembakau dengan mudah dapat menjuruskan kepada perkara-perkara mungkar dan keruntuhan moral umat manusia dan merupakan asas bagi mencuba najis dadah. Didapati bahawa ramai penagih dadah di negara ini adalah terdiri dari mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang mengalami penagihan termasuk penagihan rokok.

18. Visi kita untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dari ancaman asap tembakau akan dicapai melalui penyatuan dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kerjasama daripada wakil-wakil rakyat, NGO dan agensi-agensi lain. Semoga melalui pendekatan bersepadu ini akan melahirkan generasi masa depan yang sihat dan tidak merokok, sesuai dengan aspirasi wawasan murni negara iaitu Wawasan 2020.

Saudara –saudara sekalian,

19. Pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sama-samalah kita berdoa semoga dipanjangkan umur dan diberi kekuatan dan ketahanan diri untuk cuba sedaya upaya melawan nafsu untuk berhenti dari merokok buat selama-lamanya. Marilah kita membuat amalan jariah dengan sama-sama membantu kenalan kita untuk berhenti melawan tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan diri kita.

20. Akhir kata saya dengan ini, dengan kalimah bismillahirrahmanirrahim dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan 1424H. Sekian, terima kasih.

* Di atas tadi adalah teks ucapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK sempena pelancaran Kempen Nafas Baru dan perasmian Klinik Berhenti Merokok di Parlimen pada 27.9.2004.
* So, sama2 ler kita ambil panduan..

pengemys.org