27 January 2008

respon untuk kak e (versi pertama)

Salam kasih sayang buat anda semua terutama khas buat kak e.. posting ini bagi memberi respon atas pertanyaan kak e pada 24 januari lalu.. pertanyaan kak e adalah bagaimana membuatkan seseorang perokok yang merokok berhenti merokok selamanya..

Untuk berhenti merokok bagi saya bukanlah pekerjaan yang mudah. Kerana kerajaan juga telah mengadakan pelbagai kaedah dan kempen bagi memastikan perokok berhenti merokok. Jika ianya mudah sudah tentu bilangan perokok di Malaysia yang lebih kurang berjumlah 3 juta orang telah berjaya berhenti merokok ataupun jumlah tersebut berkurang sekiranya berhenti merokok adalah suatu perkara yang mudah.. Bahkan, mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020. Statistik juga ada mengatakan jumlah perokok Malaysia terkini dalam 4.6 juta orang dan juga mungkin mencapai 5 juta orang perokok. Bayangkan betapa ramai bilangan perokok yang mewakili lebih kurang 20% jumlah rakyat Malaysia ini dan jumlah ini setiap tahun akan meningkat.

Saya mohon maaf kepada kak e atas jawapan saya ini jika tidak menepati kehendak kak e. Jika kak e tanya saya bagaimana hendak berhenti merokok, bagi saya tiada formula khas rasanya untuk berhenti merokok. Cuma ada nasihat ataupun tips daripada mereka yang professional dalam hal ini ataupun dari brader-brader yang dulu adalah perokok dan telah berjaya membuang tabiat merokok dalam diri mereka. Jika terdapat formula khas maka memang mudah untuk berhenti merokok. Ibarat menjawab soalan matematik dengan menggunakan formula yang diberikan dan tahu pengiraan maka kita akan dapat menyelesaikan permasalahan soalan tersebut kerana formula itu memang akhirnya akan mendapatkan jawapan bagi sesuatu permasalahan. Demikianlah jika ada formula khas untuk berhenti merokok ini wujud maka penyelesaian untuk berhenti merokok memang mudah kerana semua orang hanya perlu mengikuti formula tersebut akhirnya akan membuatkan perokok berhenti merokok. So, yang ada bagi saya hanyalah panduan dari pelbagai kaedah yang boleh diikuti bergantung dengan perokok tersebut kerana setiap orang adalah berbeza keadaannya.

Maka, pertama dari saya adalah niat hati anda untuk berhenti merokok. Niat inilah keazaman dan kesungguhan seseorang untuk berhenti merokok merupakan elemen utama. Untuk membuat sesuatu memang bergantung niat di hati kita. Jika seorang dalam kelaparan walaupun warung bersebelahan rumah tetapi tiada pun dalam hati tergerak untuk membeli makanan maka dia takkan bergerak (perbuatan) ke warung untuk pergi membeli makanan. Oleh yang demikian niat keazaman dan kesungguhan adalah penting sangat dan perlulah diketahui agar niat hati kita ini hanyalah kerana Allah S.W.T semata-mata. So, kesimpulannya di sini untuk berhenti merokok bagi saya perlu kita mulakan dalam diri setiap perokok niat keazaman yang gigih dan kesungguhan yang bulat kerana Allah S.W.T. (bersambung)

10 January 2008

Satu Lagi Dakyah Industri Tembakau

Kurus badan melalui merokok?

Satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik di London mendapati bahawa kebanyakan remaja perempuan di London, Britain dan juga Ottawa, Kanada, merokok kerana mahu menguruskan badan. Mengikut penyelidikan tersebut, ia membabitkan kira-kira 2800 remaja perempuan di kedua-dua negara dalam lingkungan usia 11-18 tahun. Sejumlah 20% daripada mereka dikatakan merokok.

Dapatan kajian ini sepatutnya menimbulkan rasa bimbang di kalangan ibubapa serta masyarakat umumnya oleh kerana ada kemungkinan yang remaja perempuan di negara ini juga akan turut dipengaruhi dengan hujah-hujah yang sama. Ini memandangkan yang keprihatinan tentang berat badan di kalangan remaja perempuan amnya adalah satu perkara yang penting bagi kebanyakan daripada mereka. Kajian sosio-budaya di banyak tempat sering menonjolkan bahawa ramai wanita percaya bahawa tubuh badan mereka menjadi lebih ramping dalam masa dua (2) dekad yang lalu, sedangkan yang sebenarnya kebanyakan daripada mereka mengalami berat badan yang meningkat. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan bahawa ramai wanita terus tidak berpuas hati dengan berat badan mereka dan menginginkan berat badan yang lebih langsing. Sekaligus ini membuat lebih ramai daripada mereka mengamalkan cara-cara yang tertentu untuk mengurangkan berat badan masing-masing.

Pengaruh Iklan

Mengikut satu kajian pada tahun 1996, kaitan merokok dengan kawalan berat badan telah mula diutarakan melalui iklan-iklan rokok sejak tahun 1920an lagi, khususnya di Amerika Syarikat. Sebagai contoh satu iklan jenama rokok Lucky Strike telah mengutarakan slogan "Reach for a Lucky instead of a sweet" (Cubalah Lucky daripada gula-gula). Malah mengikut kajian tersebut, iklan-iklan rokok semasa masih disasarkan kepada wanita dengan menekankan beberapa sifat kawalan berat badan melalui merokok secara tidak langsung. Mereka bukan sahaja menggunakan remaja-remaja perempuan berbadan langsing sebagai model dalam iklan-iklan, tetapi acap kali mempamerkan nama-nama rokok yang ada kaitan dengan kelangsingan badan dengan menggunakan istilah seperti "slenderness" (ramping) dan "slimness" (langsing).
Ini menunjukkan yang syarikat-syarikat tembakau mempunyai strategi untuk memperluaskan pasaran mereka di kalangan wanita yang sehingga kini masih belum dieksploitasikan sepenuhnya. Di Amerika Syarikat sahaja, industri tembakau dikatakan berbelanja sebanyak US$4.6 bilion setahun ataupun US$12.6 milion (anggaran RM 50 juta) sehari untuk pengiklanan. Iklan-iklan ini dipaparkan sebagai satu simbol "kebebasan", "kedewasaan", "kejayaan", "impian" serta juga cara-cara untuk bersosial dan berseronok. Ianya memberi gambaran bahawa penggunaan rokok adalah satu perkara yang biasa dan tidak lagi mengaibkan, khususnya kepada golongan wanita sambil mengambil kesempatan akan perubahan peranan yang kini sedang dialami oleh kaum wanita di dalam masyarakat dewasa ini.

Imej diri baru

Jelas iklan-iklan ini cuba memberi satu gambaran tentang imej positif kepada remaja-remaja melalui aktiviti-aktiviti merokok. Imej diri yang diutarakan mereka kepada remaja-remaja perempuan lebih bercorak "keyakinan", "kematangan" dan "keberanian" sebagai sifat-sifat dapat menukar imej seorang wanita yang sanggup melanggar nilai dan norma sosio-budaya apabila mengamalkan tabiat merokok. Ini diiringi pula dengan ciri keanggunan, seksi, sihat dan juga menyeronokkan sebagai daya tarikan kepada mereka. Pengiklanan seperti ini yang khusus disasarkan kepada wanita pada lewat tahun 60an dan awal 70an, didapati berjaya meningkatkan permulaan merokok di kalangan wanita pada ketika yang sama. Satu soal selidik di Amerika Syarikat sekitar tahun 1967 yang melibatkan lebih daripada 102,626 wanita menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam permulaan merokok bagi remaja perempuan berumur bawah daripada 18 tahun, apabila iklan tembakau menyasarkan jenama tertentu kepada wanita. Kadar permulaan ini dikatakan lebih tinggi bagi wanita yang tidak mempunyai pendidikan tinggi. Sedangkan kadar permulaan bagi lelaki di peringkat umur yang serupa tidak menunjukkan peningkatan yang besar dalam jangkamasa yang sama.
Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa dengan penekanan imej-imej dan juga tema-tema yang mempunyai nilai tinggi kepada remaja perempuan, iklan rokok dapat mempromosikan tabiat merokok sebagai satu cara untuk meningkatkan imej diri. Berbeza dengan remaja lelaki, remaja perempuan yang dikatakan lebih mudah merokok adalah dari kalangan mereka yang mempunyai imej diri yang lebih baik dan mempunyai kemahiran bersosial yang tinggi serta lebih yakin, berbanding dengan imej diri yang agak rendah bagi perokok remaja lelaki.

Lindungi remaja kita

Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia umumnya dan ibu-bapa khasnya perlu prihatin terhadap iklan-iklan rokok yang kini tersiar bebas di negara ini yang tidak kurang menggunakan taktik-taktik sama dalam memikat remaja-remaja kepada tabiat merokok. Ini jelas kelihatan dalam media-media seharian yang sering memaparkan berbagai nilai palsu melalui iklan-iklan mereka. Dengan kesedaran ini, adalah diharapkan pihak yang bertanggungjawap akan lebih memainkan peranan untuk melindungi remaja kita, khususnya remaja perempuan, daripada terjebak dengan berbagai dakyah syarikat tembakau. Satu cara yang jelas adalah dengan menyekat pengiklanan sedemikian rupa supaya remaja kita tidak lagi tertipu dengan berbagai nilai palsu yang ingin diterapkan oleh syarikat rokok tentang imej diri termasuk yang berkaitan dengan berat badan. Sekiranya kita gagal mengambil langkah-langkah yang berkesan sekarang ini besar kemungkinan berbagai lagi gejala sosial akan timbul dikalangan remaja perempuan dalam masa yang terdekat ini.

(sumber oleh pusat racun negara - Bilangan 22, September 1998 Penawar Racun)

pengemys.org

09 January 2008

nikotin

Mungkin anda tahu..

Mungkin anda tidak tahu..

Mungkin anda tahu tentang sesuatu tetapi ada orang tak tahu apa yang anda tahu..

Mungkin juga orang lain tahu akan sesuatu dan anda tidak tahu perkara itu..

Marilah bersama belajar dan mengajar.. Semoga semua mendapat manfaat..

Apa itu nikotin??

Nikotin merupakan sejenis sebatian organik yang ditemui secara semulajadi di dalam pokok tembakau di mana daun tembakau mempunyai kandungan nikotin paling tinggi. Sebanyak 5 peratus daripada berat tembakau ialah nikotin.

Nikotin merupakan racun saraf manjur ( potent nerve poison ) dan digunakan di dalam racun serangga. Pada kepekatan rendah, bahan ini bertindak sebagai peransang dan adalah salah satu sebab utama mengapa merokok digemari dan dijadikan tabiat. Selain tembakau. nikotin juga ditemui di dalam tumbuhan famili Solanaceae termasuk tomato, terung ungu ( eggplant ), ubi kentang, dan lada hijau.

Nikotin boleh merangsang dan meningkatkan aktiviti metabolisma badan, kewaspadaan/kecergasan dan ingatan. Sesetengah pengguna nikotin melaporkan bahawa nikotin mempunyai kesan melegakan. Nikotin juga boleh mengkatkan jenyutan jantung dan tekanan darah serta mengurangkan selera makan. Pada dos yang lebih besar, nikotin boleh menyebabkan kemuntahan dan nausea.

Walaupun kandungan nikotin dalam rokok amat sedikit, pengguna masih boleh membentuk dependens fizikal terhadap nikotin. Kandungan nikotin yang diserap badan bergantung kepada beberapa faktor, contohnya jenis jenis tembakau, sedutan asap rokok, dan penggunaan penapis/turas.

pengemys.org

05 January 2008

kaunseling berhenti merokok

salam..

rasanya bagi perokok yang ada keinginan dan azam yang kuat untuk berhenti merokok, anda boleh menggunakan saluran perkhidmatan yang disediakan bagi membantu anda..


harap ianya dapat membantu anda untuk membuang tabiat merokok anda.. moga hidup ceria dan bahagia selalu..

pengemys.org

Merokok Antara Fakta dan Falasi

AMARAN oleh Kerajaan Malaysia: Merokok boleh membahayakan kesihatan. Demikian amaran yang terdapat di kotak-kotak rokok yang dibenarkan penjualannya di Malaysia.
Di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia, usaha-usaha mencegah perbuatan yang merosakkan kesihatan masih lagi belum dapat dijalankan dengan berkesan.
Di Australia, umpamanya, pada sepertiga bahagian hadapan kotak rokok tertera huruf-huruf besar: MEROKOK MEMBUNUH - Amaran Kesihatan Kerajaan. Malah perkataan-perkataan ini lebih besar daripada jenama rokok itu sendiri.
Pada bahagian belakang kotak rokok pula tertulis sekali lagi amaran tersebut, yang disusuli penerangan berikut: Di Australia, merokok menyebabkan lebih banyak penyakit dan kematian awal daripada penggunaan dadah-dadah lain. Merokok menyebabkan lebih empat kali ganda kematian daripada yang disebabkan kemalangan jalan raya.
Pada bahagian tepi kotak rokok juga dinyatakan: Asap dari setiap rokok mengandungi tar asap yang apabila termeluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan barah; nikotin sejenis dadah beracun dan menyebabkan ketagihan; dan karbon monoksida sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen.
Demikian, betapa terperinci usaha penyampaian maklumat yang diberikan kepada pengguna yang masih mahu memperjudikan kesihatannya. Penekanan terhadap kebebasan memberi maklumat yang amat berbeza ini menimbulkan satu persoalan yang membingungkan. Adakah nilai nyawa penduduk negara-negara membangun lebih murah daripada negara-negara maju.
Dewasa ini ramai yang bercakap tentang rokok atas dasar fakta. Ini yang terbaik. Tetapi tidak kurang pula yang cuba memutarbelitkan kenyataan dan masih ada yang meragui pendapat pakar-pakar perubatan tentang bahaya merokok.
"Negara juga yang rugi pendapatan lebih 100 juta setahun", ulas jurucakap industri tembakau. "Petani tembakau juga akan merana", bunyi pendapat lain.

Bukti kukuh

Betulkah belum ada bukti kukuh yang mengaitkan tabiat merokok dengan pelbagai jenis penyakit seperti barah paru-paru dan saluran pernafasan, sakit jantung, ulser perut dan bermacam-macam lagi?
Mungkin kita di Malaysia belum yakin tentang kebenaran ini. Tetapi di Amerika Syarikat, kongresnya telah pun menubuhkan Gedung Penjelasan Kebangsaan bagi 'Merokok dan Kesihatan' lebih 30 tahun lalu.
Pertubuhan ini dipertanggungjawabkan untuk menilai semua laporan ilmiah tentang kesan merokok terhadap kesihatan. Setiap laporan tahunan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa merokok pasti membahayakan kesihatan.
Justeru itu, Kongres Amerika tiada pilihan lain dan terpaksa mengeluarkan perintah bahawa mulai 1 November 1970, setiap kotak rokok mesti mempunyai label amaran bahaya merokok.
Hari demi hari pelbagai laporan diterbitkan tentang bahaya merokok terhadap sistem-sistem tubuh. Bukan sekadar sistem jantung dan pernafasan yang sering tergugat, malah sistem pencernaan, sistem saraf, sistem penglihatan, sistem darah, sistem ginjal dan sistem pembiakan juga boleh terjejas.
Nikotin sememangnya bahan racun dan digunakan sebagai agen pembasmi makhluk perosak. Bayangkanlah apa yang mampu dilakukan oleh nikotin dalam tubuh manusia!
Ada teori yang mengatakan pendapatan negara meleset sebanyak 100 juta ringgit setahun jika rakyatnya tidak merokok.
Pendapatan ini mungkin datang dari hasil iklan dan pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan, contohnya cukai jualan dan cukai korporat keuntungan syarikat. Ini menguntungkan kerajaan. Bagaimana pula kerugian yang ditanggung? Contohnya, dalam tahun 1990 sahaja perokok Malaysia membakar lebih 1.7 bilion ringgit.
Jumlah ini merugikan negara sebab jika jumlah itu dilaburkan ke dalam Amanah Saham Bumiputra, bayangkanlah jumlah pulangan yang akan diperolehi.
Bagaimana pula dengan kos rawatan pesakit-pesakit yang menderita akibat merokok.
Semuanya ditanggung oleh pihak kerajaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Penyebab maut nombor satu di Malaysia sekarang ialah sakit jantung.
Justeru itu kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk membangunkan Institut Jantung Negara (IJN) dan pelbagai pusat kesihatan dan hospital lain di seluruh negara. Namun, kebanyakan katil di unit-unit rawatan jantung tidak mencukupi untuk menampung pesakit-pesakit jantung.
Sakit jantung yang disebabkan merokok adalah suatu jenis penyakit yang boleh dielakkan. Ramai juga pesakit jantung yang tidak diberi pilihan. Ini termasuk kanak-kanak kecil yang dilahirkan dengan jantung yang bermasalah.
Alangkah tidak adilnya jika perokok yang sememangnya memilih untuk menderita sakit jantung terpaksa menggunakan katil-katil yang diperlukan oleh mereka yang tiada pilihan sakit jantung? Itu soalan etika, yang pening tentunya pakar perubatan. Itu pun belum menyentuh pelbagai penyakit lain.
Tempoh penderitaan seseorang pesakit agak lama. Ubat-ubatan yang diperlukan mahal sekali. Kos rawatan dan penjagaan memang besar.

Memerlukan

Tidak hairanlah Kementerian Kesihatan sentiasa memerlukan peruntukan kewangan yang besar setiap tahun.
Bagaimana pula rakyat Malaysia yang mati dalam usia yang masih muda? Tidakkah ini merugikan negara? Produktiviti individu sukar dinilai tetapi negara memang kekurangan pekerja. Ini dikira kos habis. Bagaimana dengan nasib anak-anak perokok yang ditinggalkan?
Namun yang pasti, masalah rokok bukan masalah fakta atau falasi, bukan juga masalah halal atau haram, tetapi sebenarnya percaturan untung rugi kewangan.
Semoga di tahun baru ini lebih ramai yang mengambil iktibar dari rencana ini dan bertekad untuk berhenti merokok. Kepada yang telah berusaha sejak awal tahun, diucapkan SELAMAT BERHENTI MEROKOK.

Oleh Dr. Abu Bakar Abdul Majeed Pusat Racun Negara, USM

pengemys.org

teks ucapan TPM

Saudara Pengerusi MajlisYang Berhormat Dato’ Dr. Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Malaysia Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Malaysia Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekelian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Terlebih dahulu, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan hidayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi ini untuk pelancaran Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan 1425H dan Perasmian Klinik Berhenti Merokok di Bangunan parlimen ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi lain iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam (IKIM), Pusat Racun Negara, USM dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia yang mengambil inisiatif mengadakan kempen ini bagi meningkatkan kesedaran umum tentang tabiat merokok dan menyediakan khidmat bagi membantu masyarakat amnya dan Yang Berhormat-Yang Berhormat khasnya untuk meninggalkan tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan.

2. Insya’Allah dalam tempoh 2 minggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan, bulan yang mulia dan istimewa. Ia merupakan bulan pelbagai kelebihan yang perlu dimanafaatkan oleh setiap umat Islam. Pada bulan yang baik ini, umat Islam digalakkan untuk bermusahabah, mengamal amalan baik, membuat perkara-perkara positif sepertimana yang dituntut oleh agama Islam. Bulan Ramadhan memberi peluang kita melatih diri, mengawal dari hawa nafsu, agar tidak melakukan perbuatan yang sia-sia, seperti tabiat merokok.

3. Seperti yang kita sedia maklum, tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara keagamaan. Pada zaman itu umat Islam tidak pandai merokok melainkan dipengaruhi oleh sikap dan budaya Barat yang menjajahi mereka.

4. Tabiat merokok yang menular kini diterima sebagai suatu perkara kebiasaan dan simbol status dalam masyarakat kita. Dari kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1996, kadar keseluruhan merokok di negara ini ialah 24.8% manakala prevalen bagi lelaki ialah 49.2% dan untuk wanita 3.5%. Kadar merokok yang melibatkan separuh (50%) dari semua lelaki dewasa di Malaysia adalah melebihi kadar yang sama di negara-negara maju, seperti United Kingdom (38%), Amerika Syarikat (35%) dan Sweden (30%), di mana kesedaran di negara-negara ini telah mempengaruhi penurunan kadar merokok sejak beberapa tahun lalu.

5. Merokok malangnya telah dianggap sebagai satu perbuatan bergaya dan menjadi norma kehidupan sebahagian rakyat Malaysia. Nyata sekali anggota masyarakat mesti diberi maklumat yang jelas dan jitu tentang rokok supaya mereka boleh membuat pilihan yang bijak dan tepat apabila berhadapan dengan tekanan-tekanan untuk merokok.

6. Kajian yang sama turut menunjukkan perangkaan bahawa kaum Melayu meliputi 35% dari keseluruhan perokok, dengan jumlah seramai lebih 1 juta orang, berbanding dengan kaum Cina 23% dan kaum India 20%. Kebanyakan dari perokok adalah terdiri dari mereka yang bermastautin di kawasan luar bandar dan terdiri dari golongan yang berpendapatan rendah. Sebilangan besar perokok mula berjinak dengan tabiat ini dari peringkat remaja dan purata umur mula merokok ialah di sekitar 19 tahun.

7. Pelbagai pendekatan, khususnya kaedah perundangan dan pendidikan kesihatan yang menyasarkan para perokok, telah dijalankan sejak dua dekad yang lalu dengan harapan agar golongan ini meninggalkan tabiat mereka. Namun, kadar merokok semakin meningkat dengan penglibatan wanita dan remaja pula. Ini adalah hasil dari kejayaan taktik promosi oleh syarikat-syarikat tembakau yang memperluaskan jaringan pasaran masing-masing demi keuntungan yang lumayan. Sebagail wakil rakyat, Yang Berhormat-Yang Berhormat boleh membantu dengan memberi maklumat-maklumat hasil kajian saintifik mengenai bahaya rokok dan kebaikan tidak merokok melalui saluran-saluran dan kaedah komunikasi yang berkesan. Kita mesti mewujudkan satu gelombang sokongan padu di kalangan masyarakat Malaysia untuk menentang tabiat merokok.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Menghisap rokok memudaratkan kesihatan manusia, persekitaran dan merbahaya kepada perokok aktif itu sendiri serta perokok pasif. Kemajuan dalam penyelidikan sains perubatan telah jelas membuktikan hubungan rapat di antara penggunaan tembakau (merokok) dengan penyakit jantung yang merupakan pembunuh utama (number one killer) diikuti penyakit kanser, iaitu mengikut statistik, pada setiap 4 orang, 1 orang akan dihidapi dengan penyakit kanser, penyakit paru-paru dan berbagai-bagai jenis penyakit lain. Rokok merupakan penyebab utama kematian yang sama sekali boleh dielakkan di zaman moden ini. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia telah bertambah dari 1 juta dalam pertengahan tahun 1960an kepada lebih 4 juta masa kini. Ini dianggarkan meningkat lagi kepada 10 juta setahun menjelang tahun 2020. Bahayanya tidak hanya membabitkan negara-negara Barat sahaja, malah kian mengancam dan menjadi masaalah kesihatan yang paling utama di negara-negara membangun, termasuk di Malaysia.

9. Statistik telah menunjuk dan membuktikan bahawa tabiat merokok mengakibatkan 90% dari kesemua kes kanser paru-paru, 75% kes kerosakkan paru-paru (chronic bronchitis & emphysema) serta 25% kes sakit jantung di kalangan lelaki berumur di bawah 65 tahun. Beberapa lagi jenis kanser selain kanser paru-paru dan juga komplikasi dalam sistem pernafasan kanak-kanak, turut dikaitkan dengan merokok di kalangan ahli keluarga.

10. Ibu bapa yang merokok bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka pada tahap bahaya, tetapi juga berkemungkinan memperolehi kecacatan anggota serta menggugat pertumbuhan fizikal dan minda ahli keluarga mereka sendiri. Didapati kanak-kanak dari ibu bapa yang merokok lebih cenderung mencontohi tabiat buruk ini apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Saudara saudari sekalian,

11. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan yang membawa padah. Berdasarkan fakta-fakta yang telah terkumpul sekian lama melalui beribu-ribu kajian saintifik di seluruh dunia, apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ di sepanjang laluan pernafasannya.

12. Dari maklumat tentang kemudaratan asap rokok terhadap kesihatan, maka isu berhubung menghidu asap rokok secara terpaksa atau secara pasif semakin ketara dan menjadi persoalan hak asasi manusia yang semakin hebat diperkatakan di seluruh dunia.

13. Kajian-kajian saintifik yang dijalankan oleh berbagai badan penyelidikan terkemuka antarabangsa telah membuktikan bahawa merokok secara pasif (passive smoking) merupakan penyebab utama kejadian kanser paru-paru di kalangan orang yang tidak merokok. Bagi wanita bukan perokok, mereka mempunyai pertambahan risiko sebanyak 30% untuk mengidap kanser paru-paru dan kelebihan 50% pula untuk diserang sakit jantung, jika suaminya merokok.

14. Dari sudut ekonomi pula, merokok adalah suatu amalan pembaziran. Setiap individu yang menghisap rokok melampaui 20 batang sehari selama lebih 25 tahun telah membelanjakan wang tidak kurang dari RM 20 000 bagi menampung keperluan penagihan masing-masing. Menurut kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1986, para perokok di Semenanjung Malaysia membakar sekurang-kurangnya RM 3 juta sehari untuk membeli rokok. Wang sebanyak ini tentu sekali boleh dimanafaatkan ke arah yang lebih menguntungkan. Kebanyakan perokok di Malaysia adalah terdiri dari mereka yang berpendapatan purata RM 300 sebulan, di mana sebanyak RM 33 sebulan (11%), dikhususkan untuk rokok. Sudah tentu sekali boleh diandaikan dengan tepat bahawa peruntukkan menyara keperluan keluarga akan turut terjejas.

15. Belanja membersih dan melupuskan kekotoran sampah, sisa habuk dan putung rokok yang dibuang di merata tempat oleh para perokok yang tidak mempunyai kesedaran sivik, serta kerugian harta benda dan jiwa akibat kebakaran yang berpunca dari kelalaian mereka, seterusnya akan melanjutkan lagi senarai kesan negatif yang dikaitkan dengan rokok.

Saudara-saudara sekalian,

16. Sebagai wakil-wakil rakyat yang penuh dedikasi dan bertanggungjawab, saya menyeru agar tuan-tuan menjadi contoh dan memberi teladan yang baik, serta dapat menyebarkan kepada rakyat akan kesan dan akibat buruk yang terbit dari tabiat merokok.

17. Merokok juga merupakan aktiviti penggalak bagi budaya lepak yang sedang melanda golongan muda dewasa ini. Penggunaan tembakau dengan mudah dapat menjuruskan kepada perkara-perkara mungkar dan keruntuhan moral umat manusia dan merupakan asas bagi mencuba najis dadah. Didapati bahawa ramai penagih dadah di negara ini adalah terdiri dari mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang mengalami penagihan termasuk penagihan rokok.

18. Visi kita untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dari ancaman asap tembakau akan dicapai melalui penyatuan dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kerjasama daripada wakil-wakil rakyat, NGO dan agensi-agensi lain. Semoga melalui pendekatan bersepadu ini akan melahirkan generasi masa depan yang sihat dan tidak merokok, sesuai dengan aspirasi wawasan murni negara iaitu Wawasan 2020.

Saudara –saudara sekalian,

19. Pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sama-samalah kita berdoa semoga dipanjangkan umur dan diberi kekuatan dan ketahanan diri untuk cuba sedaya upaya melawan nafsu untuk berhenti dari merokok buat selama-lamanya. Marilah kita membuat amalan jariah dengan sama-sama membantu kenalan kita untuk berhenti melawan tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan diri kita.

20. Akhir kata saya dengan ini, dengan kalimah bismillahirrahmanirrahim dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan 1424H. Sekian, terima kasih.

* Di atas tadi adalah teks ucapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABD RAZAK sempena pelancaran Kempen Nafas Baru dan perasmian Klinik Berhenti Merokok di Parlimen pada 27.9.2004.
* So, sama2 ler kita ambil panduan..

pengemys.org

perokok merokok rokok


Perokok = istilah ini boleh ler kita kaitkan dengan orang yang melakukan sesuatu perbuatan..





Merokok = perkataan ini pula mungkin adalah merujuk kepada perbuatan sesuatu perkara..





Rokok = alat atau bahan untuk orang melakukan perbuatan..




Perokok (orang), merokok (perbuatan), rokok (bahan)

Dan ketiga-tiga perkataan ini sebenarnya boleh mendatangkan bahaya.. Dengan adanya rokok maka akan menghasilkan perbuatan merokok.. Dan apabila perbuatan merokok terhasil, maka wujud pula perokok yang akan mendatangkan bahaya kepada perokok itu sendiri kerana perbuatannya yang merokok..

pengemys.org

04 January 2008

katakan TAK NAK!!

Assalamualaikum

Ini lah blog khas yang saya create hari ni sempena hari jumaat yang mulia ini.. blog ini bertujuan menyahut kempen kerajaan bagi membantu perokok kita agar dapat mengurangkan risiko masyarakat yang semakin kritikal dengan beban perokok yang kian meningkat hari demi hari tak kira bangsa, umur, peringkat dan tempat..

Diharapkan blog ringkas ini akan dapat membawa faedah kepada masyarakat semua dan khususnya warga Malaysia dalam mengurangkan tabiat merokok dan seterusnya dapat membuang tabiat merokok dalam menjalani kehidupan yang sihat dan ceria.. Saya masih dalam proses belajar dan kita semua juga belajar dalam mencapai matlamat 100% bersih perokok. Meskipun ianya seperti satu harapan yang tinggi dan angan kosong tetapi sekurangnya kita ada usaha ke arah itu dan dapat mengurangkan perokok serta tabiat merokok..

Semoga blog ini akan terus bernafas untuk bersama berganding bahu untuk azam sesungguhnya dalam hati dan harapan untuk menyatakan "TAK NAK MEROKOK"..
Maaf atas segala kekurangan dan kesalahan..bukan berkhutbah tetapi cuba betuli diri juga..

Sekian..